Gulai Daging Kulat Sisir

by - 9:20 PG

Gulai Daging Kulat Sisir ~ Assalamualaikum wbt. Belek-belek telefon semalam baru perasan gambar gulai atau kari daging bersama kulat sisir belum buat entry kat blog. Lama mommy tak masak kulat sisir ni sebab ingatkan belah suami tak makan. Rupanya kak ipar dan mak mertua makan. Tanya kat suami dia tak makan katanya. So, minta kak ipar belikan kulat sisir dan daging untuk kari daging sama kulat sisir sepertimana yang di request.

Mengenali kulat sisir ni sejak kecil lagi dan merupakan menu yang suka makan terutamanya apabila di buat masak lemak cili padi atau kari. Sedap sangat sebab rasanya seperti daging. Selain di campur dengan daging, boleh juga di campur dengan udang. 

Bila dah masak, mommy tak inform encik suami yang kari daging tu ada kulat sisir Bila dia dah makan baru mommy cakap. Dia kata tak terasa pun. Rasa macam daging ja.. Alhamdulillah. So, boleh masak lagi lepas ni.

Kulat Sisir Atau Cendawan Sisir

Kulat sisir juga dikenali sebagai cendawan sisir, kulat tahun, kulat atau cendawan kukur. Ia kulat bermusim dan hanya setahun sekali. Ia tumbuh selepas hujan di atas pokok atau dahan getah yang kering atau reput.

Kulat sisir yang segar, boleh terus di masak. Walaubagaimanapun jika banyak, ia boleh di keringkan dan tempoh hayat akan tahan lama. Untuk kulat sisir kering, perlu di rendam sehingga kembang terlebih dahulu sebelum di masak. Ini adalah agar kulit kayu dan serangga kecil dapat dikeluarkan dengan mudah. Jika kulit kayu tidak di buang, masakan akan berasa kayu dan akan rasa keras apabila mengunyah kulat sisir. 

Khasiat Kulat Sisir

Banyak laporan ada menyatakan cendawan ini mempunyai banyak khasiat termasuk bahan 'Schizophyllan' iaitu bahan Anti-tumor dan anti kanser. Bahan ini juga meningkatkan tahap immune badan serta anti radangan, anti-bakteria, anti-parasit dan membantu dalam melindungi hati.

Disebabkan lama tak makan kulat sisir ni, mommy ingat ia dah pupus. Alhamdulillah masih ada.

resepi kari Daging Kulat Sisir
Gulai Daging Kulat Sisir

Di sini mommy kongsikan resepi kulat sisir untuk semua terutamanya anak-anak zaman sekarang yang tak biasa tengok dan makan makanan seperti ini. Yang pasti sekali cuba pasti nak lagi. 


Resepi  Gulai Daging Kulat Sisir


Bahan-bahannya

1/2 kg daging rincik - bersih dan toskan
6 sb serbuk Kari Daging/Ayam
2 biji besar bawang merah - 1 racik untuk tumis - 1 di kisar
1-2 biji tomato - dihiris halus
2 ulas bawang putih
1 sk jintan manis
1 sk jintan putih
3 beradik (kulit kayu manis, bunga cengkih dan bunga lawang)
Daun Kari
3 sudu Kerisik - mommy terlupa nak letak
RM 4  Kulat sisir
RM 2 santan
Garam
Minyak


Caranya

Tumiskan bawang, 3 beradik dan daun Kari sehingga wangi.

Masukkan serbuk Kari yang telah di bancuh dengan air. Biarkan sehingga pecah minyak atau masak sepenuhnya.

Masukkan bawang yang dikisar dan tomato. Biarkan sehingga bawang masak sepenuhnya.

Masukkan daging  dan biarkan sehingga 10-15 minit atau sehingga daging benar-benar empuk.

Masukkan kulat sisir dan santan,biar hingga mendidih.

Masukkan garam secukup rasa

Angkat  dan siap untuk di makan


selamat mencuba.

You May Also Like

0 comments

Google+ Followers